Search
Close this search box.

Laporan Polis Dibuat Susulan Kekasaran Terhadap Anggota Bomba

ByDayu Adruce

LAWAS: Susulan kekasaran terhadap anggota bomba yang melakukan kerja memadam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Belipat Lawas Ahad lalu, satu lagi laporan polis telah dibuat pihak Balai Bomba Lawas.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 7 Limbang, Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal dalam satu kenyataan memaklumkan, laporan polis telah dibuat Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas Zaki Husin di Balai Polis Lawas pada jam 2.15 petang Ahad.

Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal (Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 7 Limbang)

Laporan polis tersebut dibuat susulan kejadian anggota bomba yang juga merupakan penyelia pasukan BBP Lawas dipukul semasa operasi pemadaman kebakaran rumah di Kampung Belipat, Lawas sekitar jam 3.38 petang pada Sabtu.

Beliau mahukan siasatan dijalankan ke atas suspek yang menyerang anggota bomba.

Pada masa yang sama, tindakan mahkamah akan diambil terhadap suspek dan JBPM memandang serius kejadian tersebut serta menegaskan perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku.

Tegasnya tindakan undang-undang akan segera diambil ke atas penyerang tersebut mengikut Seksyen 51 Akta Bomba 341 iaitu mengganggu pegawai bomba, pegawai bomba bantuan atau pasukan bomba sukarela dalam melaksanakan tugasnya.

Sebelum ini mangsa telah menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap suspek tengah malam Ahad, selepas menerima permohonan maaf daripada suspek dan ibunya yang menyesal atas kesalahan yang dilakukan.

Walaubagaimanapun pihak pendakwaan dan perundangan mendapati kes ini sebagai sesuatu yang serius dan perlu diambil tindakan oleh JBPM.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lawas DSP Roslan Leman berkata permohonan reman suspek berusia 30 tahun itu diluluskan selama empat hari bermula Ahad.

“Walaupun mangsa, pegawai bomba berusia 41 tahun telah menarik laporan polis beliau terhadap suspek tengah malam tadi, tetapi siasatan tetap diteruskan sehingga mendapat arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya dan Seksyen 186 kanun yang sama kerana menggalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, semasa anggota bomba berkenaan bertugas memadamkan api kebakaran yang berlaku di sebuah rumah di kampung tersebut, beliau tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang menumbuk di bahagian kepalanya.

Siasatan awal mendapati suspek bertindak agresif terhadap pengadu atas alasan bomba lewat ke tempat kebakaran yang bersebelahan dengan rumah suspek.

Kejadian terbabit telah dirakam melalui kamera Go-Pro yang dipasang pada helmet keselamatan pengadu.

Terdahulu, Pengarah JBPM Negeri Sarawak Khirudin Drahman turut menzahirkan rasa kesalnya ke atas perkara yang telah berlaku ke atas seorang pegawainya yang dikasari orang awam ketika memadamkan kebakaran.

Untuk rekod, kejadian seumpama ini merupakan kejadian kali pertama berlaku melibatkan pegawai bomba di negeri Sarawak.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan