SIBU, 11 Nov: Kerjasama erat jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Lanang dan Parlimen Sibu berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mendapat pujian Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Dr Sim berpuas hati menyaksikan dua kawasan parlimen berkenaan berganding bahu agar GPS berjaya memenangi dua kerusi tersebut.
“Saya amat gembira dengan kerjasama majoriti cawangan dan ahli untuk memenangi kerusi bagi Lanang dan Sibu yang sudah terlalu lama berada di bawah Parti Tindakan Demokrasi (DAP),” katanya dalam sidang media selepas lawatan ke bilik gerakan PRU-15 Lanang pada petang semalam.
Menurut beliau parlimen Sibu merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Lanang mempunyai dua DUN, justeru bagi merebut kedua-dua kerusi tersebut kerjasama antara jentera parti di setiap DUN amat penting.
Melihat kepada situasi semasa Timbalan Premier Sarawak itu juga menggesa para pengundi di kedua-dua kerusi parlimen Lanang dan Sibu untuk bijak membuat pilihan pada 19 November ini.
“Undilah calon GPS kerana PRU-15 ini adalah peluang sekali seumur hidup untuk rakyat Sarawak memperjuangkan hak mereka,” ujarnya.
Jelas Dr Sim, PRU-15 merupakan peluang yang dinantikan Sarawak setelah 59 tahun ini memandangkan parti-parti politik di Semenanjung Malaysia menawarkan Timbalan Perdana Menteri kepada Sarawak.
“Sejak bila jawatan Timbalan Perdana Menteri mula ditawarkan di Sarawak? Walaupun kita menang besar pada pilihan raya lepas, kita meminta untuk memiliki jawatan itu tetapi mereka tidak mendengar permintaan kita kerana mereka begitu bersatu dan kuat,” ujarnya.
Namun begitu kata Dr Sim ketika ini arena politik di Semenanjung Malaysia sedang ‘berpecah-belah’ membuatkan mereka terpaksa membuat tawaran sebelum PRU-15 kepada GPS.
“Mereka bimbang kita tidak menjawab telefon semasa malam pilihan raya dan mereka terus menawarkan tawaran terlebih dahulu,” katanya.
Mengakui bahawa PRU-15 kali ini sukar diramal, namun tegas Dr Sim, GPs hanya akan membuat keputusan pada malam pilihan raya nanti untuk bercakap kepada pemenang bagi membentuk kerajaan.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, calon GPS Lanang Wong Ching Yong dan lain-lain. – TVS