KUCHING, 10 Nov: Golongan usahawan di Sarawak perlu proaktif dalam membuat inovasi ke atas strategi pemasaran serta kualiti produk yang ditawarkan selari dengan trend perniagaan digital hari ini.
Pengarah Syarikat Hornbill Agriculture Sdn Bhd, Alan Wei berkata, pada masa yang sama, usahawan seharusnya tidak bergantung penuh kepada bantuan ataupun geran yang diberikan oleh kerajaan.
“Antara yang selalu saya jumpa adalah kebanyakan usahawan tempatan bergantung penuh kepada bantuan dan geran yang diberikan kerajaan.
“Mereka sepatutnya meneruskan strategi perniagaan mengikut rancangan mereka sendiri dan jadikan geran atau bantuan itu sebagai satu bonus,” katanya ketika ditemui pada program bual bicara Malaysia Decides pada Khamis.
Alan juga menegaskan bahawa geran yang diberikan sepatutnya dijadikan sebagai batu loncatan dalam perniagaan mereka.
“Saya berpendapat bahawa pemikiran usahawan PKS ini hanya berfokuskan kepada geran.
“Geran itu hanya membantu mereka bergerak dan memajukan perniagaan mereka dengan lebih jauh,” katanya lagi. – TVS