Search
Close this search box.
Kim Pan Gon. Foto: Bernama

Pan Gon percaya Malaysia sepatutnya jaringkan lebih banyak gol

ByBernama

KUALA NERUS, 15 Jun: Kemenangan Malaysia 4-1 ke atas pasukan yang ranking dunianya lebih tinggi, Kepulauan Solomon, pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 malam tadi, tidak mencukupi untuk Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon.

Selain melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan ketinggalan 0-1 pada awal perlawanan, jurulatih dari Korea Selatan itu agak kecewa selepas anak buahnya itu gagal untuk mencatatkan kemenangan besar di hadapan 12,000 peminat yang membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini.

“Ia satu permulaan yang membimbangkan, tetapi saya gembira kerana pemain dapat memberikan reaksi yang baik sebelum tamat separuh masa pertama.

“Saya rasa kita memang patut menang, tetapi dari segi jaringan gol, saya rasa sepatutnya lebih dari empat… apabila kita berpeluang untuk menjaringkan gol (jadi) keadaan ini amat penting, namum saya gembira kerana dapat kekalkan kemenangan di tempat sendiri,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Pan Gon berkata anak buahnya gagal menggunakan kelebihan pada setiap peluang menjaringkan gol di sepanjang perlawanan, namun ia tidak bermakna pemainnya tidak mampu memanfaatkan setiap peluang yang terhidang di hadapan gol.

Beliau berkata pemain terbaik dunia juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan yang sama.

“Perkara ini perlu diperbaiki, namun ia bukan suatu yang mudah buat satu pasukan kebangsaan, dalam (latihan pusat) dalam beberapa hari sahaja, siapa yang boleh perbaiki perkara ini? Kami tidak boleh tetapi sekurang-kurangnya kami panggil pemain berkualiti dan terbaik ke sini. I rasa perkara ini, mereka perlu bermain dengan kerap di kelab mereka untuk biasa kan diri, dan datang ke sini dengan permainan yang baik,” katanya.

Pan Gon akui salah satu daripada aspek positif yang ditunjukkan oleh pasukannya ialah usaha berterusan untuk menghasilkan peluang, walaupun berhadapan lawan yang menggunakan permainan gaya ‘negatif’.

“Tetapi bila kita berpeluang, kita perlu menjaringkan gol, jika tidak sewaktu berhadapan dengan pasukan yang kuat dan gagal sempurnakan peluang yang ada, tentunya kita akan menghadapi masalah,” katanya.

Pada perlawanan malam tadi, Malaysia dikejutkan oleh gol pembukaan Raphael Lea’i pada minit ke-11, sebelum menjaringkan empat gol masing -masing menerusi Paulo Josue (minit ke-40), Arif Aiman ​​Mohd Hanapi (sepakan penalti masa tambahan), Muhammad Safawi Rasid (minit ke-77) dan Lee Tuck pada masa tambahan.

Kemenangan ini merupakan yang ketiga berturut-turut pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, selepas sebelum ini mengalahkan Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong (2-0) di Johor, Mac tahun ini.

Sementara itu Jurulatih Kepulauan Solomon Felipe Vega-Arango dari Sepanyol mengakui kualiti pemain yang berbeza antara kedua-dua pasukan.

“Perbezaan antara pemain amatur dan profesional terlalu besar… secara jujurnya berbezaan antara kami ialah standard, terutamanya dari segei persediaan fizikal…Saya rasa ia satu ujian yang bagus, namun terdapat banyak untuk diperbaiki terutamanya pada bola sepak Solomon, jika kami mahu bermain secara ini lagi,” katanya.

Malaysia akan berdepan Papua New Guinea dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di sini, Selasa depan, manakala Kepulauan Solomon dijadualkan untuk berhadapan Singapura, Ahad ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan