KUCHING, 2 Ogos: Kes pembakaran terbuka di Sarawak meningkat sekali ganda iaitu daripada 26 kepada 58 kes sejak dua minggu ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datu Khiruddin Drahman percaya aktiviti berkenaan merupakan punca peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Menurutnya walaupun IPU Sarawak berada pada tahap sederhana namun kegiatan seumpama berkenaan harus diberi perhatian serius terutama pada musim panas ketika ini.
“Kalau kita lihat dari segi statistik kebakaran dalam minggu lepas, maksud saya minggu ini, kenaikannya cukup mendadak daripada 26 kes kepada 58 kes sekali ganda.
“Dan kita lihat pembakaran ini walaupun ia kecil-kecilan tetapi di banyak kawasan, boleh menyumbang kepada lepasan asap yang tidak sepatutnya berlaku dan menjejaskan persekitaran, contohnya kawasan semak dan kawasan belukar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi TVS pada Rabu.
Kes pembakaran terbuka itu kata Khiruddin dikesan di beberapa bahagian termasuk Samarahan, Serian dan Sibu.
Mengikut data yang dikongsikan di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat jam 11 pagi hari ini, Sarawak berada pada tahap sederhana.
Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman web Sistem Pengurusan Indesks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) – http://apims.doe.gov.my/home.html – TVS