Search
Close this search box.
Rakyat pelbagai etnik bangga memperagakan pakaian tradisi masing - masing sempena Sambutan Minggu Perpaduan Negara di Kuching. Foto Ahmad Nasrullah (TVS)

Perpaduan dalam kepelbagaian yang dipupuk Sarawak harus dicontohi

SIBU, 11 Sept: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Sarawak sebagai contoh negeri yang bersatu dan progresif di Malaysia.

Sarawak telah membuktikan bahawa rakyatnya tahu antara ramuan utama untuk bergerak ke hadapan sudah pastinya perpaduan dan dalam konteks ini, Perdana Menteri mahu mereka yang berada di Semenanjung Malaysia mempelajarinya daripada Sarawak.

Anwar berpendapat perkara ini membolehkan negeri itu memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan melihat ke masa hadapan serta usahanya untuk mencipta tenaga hijau daripada hidrogen, ialah satu daripada contoh progresif untuk diikuti negeri lain.

Bagaimanapun, usahawan tempatan Dr Gregory Hii Sui Cheng berkata Sarawak memiliki keharmonian kaum dan perpaduan yang baik dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa, budaya dan agama, bukanlah secara kebetulan.

Beliau berkata keadaan itu memerlukan usaha gigih daripada rakyatnya serta nenek moyang mereka untuk membawa negeri itu seperti sekarang dengan sifat toleransi dan hormat-menghormati menjadi asas penting untuk membina masyarakat yang aman.

Selain itu, beliau berkata wilayah ini juga bertuah kerana mempunyai barisan pemimpin politik seimbang yang mendukung fahaman berbilang kaum dan membenci ekstremisme.

“Kepimpinan melalui teladan sentiasa ada, menerusi Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri terdahulu Tan Sri Adenan Satem dan Premier sekarang Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menunjukkan contoh terbaik untuk mengamalkan ‘perpaduan dalam kepelbagaian’,” katanya kepada Bernama.

Pemimpin berkenaan telah memupuk keharmonian kaum, malah sehingga menggunakan undang-undang imigresen sendiri untuk melarang individu yang berpecah belah, terutamanya pelampau agama untuk memasuki Bumi Kenyalang itu.

“Sudah tentu, perkahwinan antara kaum dalam kalangan rakyat Sarawak yang semakin meningkat telah membantu menggalakkan keharmonian yang lebih baik kerana sudah menjadi perkara biasa melihat isi rumah yang sama menyambut Krismas, Gawai dan hari raya,” katanya.

Seorang guru, Ahmat Johari berkata menjadi amalan di Sarawak bahawa masyarakat mengenali seberapa ramai “kaban belayan” atau saudara-mara dalam bahasa Iban.

Ahmat yang berketurunan Melanau/Iban dan mengahwini isterinya berbangsa Iban berkata “tusut” atau salasilah dalam masyarakat Iban membantu mereka mengenali saudara jauh dari tempat lain.

Beliau berkata keadaan ini telah berkembang di luar masyarakat berikutan perkahwinan antara kaum dan mereka sangat menghargai saudara-mara tanpa mengira bangsa dan agama.

“Ini membantu menyatukan komuniti berbeza. Jadi, mereka yang datang dari luar jangan cuba untuk memburuk-burukkan seseorang di depan orang lain kerana dua individu itu mungkin mempunyai pertalian. Hati-hati kawan atau anda akan memalukan diri sendiri,” katanya berseloroh.

Ahli Majlis Perbandaran Sibu Sammy Ngelambai pula berkata bukan hanya perkahwinan antara kaum yang menyatukan rakyat Sarawak, tetapi juga makanan, malah lagu turut membuatkan masyarakat bergaul dan bergembira bersama-sama.

“Apabila lagu seperti ‘Bekikis Bulu Betis’ dimainkan ketika perarakan Hari Sarawak di Padang Merdeka, Kuching pada Julai lepas, semua peserta perarakan mula menari poco-poco, menunjukkan kebersamaan mereka, hidup harmoni antara satu sama lain,” katanya.

Bagi mengekalkan perpaduan itu teguh selama-lamanya, Sammy berkata tumpuan harus diberikan kepada generasi muda agar mereka menghargai perpaduan dan keharmonian kaum demi hari esok yang lebih baik, bukan sahaja untuk Sarawak tetapi juga Malaysia secara keseluruhannya.

Berdasarkan pemerhatiannya, masih kurang aktiviti diadakan yang dapat mengumpulkan semua anak muda yang berbeza latar belakang kaum dan agama.

Beliau berkata lazimnya, jika sesuatu acara dianjurkan program itu lebih banyak disertai orang muda daripada komuniti tertentu sahaja.

“Kita perlu melihat situasi ini dengan lebih mendalam. E-sukan amat popular pada masa ini dan kebanyakan anak muda memainkannya. Jadi, mengapa tidak menganjurkan banyak acara untuk golongan ini supaya mereka dapat berkenalan antara satu sama lain, mewujudkan persefahaman dan mengekalkan perpaduan selama-lamanya,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan