Search
Close this search box.
Wilson Ugak (tiga dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Abang Johari Tun Openg semasa melakukan kunjung hormat di Wisma Bapa Malaysia hari ini. Foto TVS.

Pembinaan ICQS Tapak Megah, Kapit perlu disegerakan

KUCHING, 27 Sept: Pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Tapak Megah, Kapit perlu disegerakan bagi tujuan menjaga keselamatan di sempadan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas- Tugas Khas) Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Pembinaan ICQS Tapak Megah, Kapit perlu disegerakan | TVS

Kata Wilson Ugak, menerusi pertemuan beliau dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini, perkara sama turut dibincangkan.

“Pemindahan pusat pentadbiran baharu Indonesia, Nusantara ke Kalimantan dijangka akan menyaksikan kemasukan lebih tinggi penduduk negara itu ke Sarawak.

“Justeru lebih banyak ICQS di beberapa lokasi strategik (di Sarawak) perlu segera dibangunkan bagi tujuan keselamatan sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat bertemu Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wilson Ugak berkata, ICQS di Kalimantan yang dibina oleh negara jiran sudah 80 peratus siap dan dijangka akan dirasmikan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo pada Disember depan.

“Namun di Sarawak belum ada (ICQS), kawasan kita masih (ditutupi) hutan, maka tindakan segera perlu diambil oleh Kerajaan Malaysia.

“(Selain itu keadaan) jalan raya di Kalimantan sangat baik, tetapi di sini masih jalan balak,” katanya.

Tambah beliau peranan ICQS Tapak Megah sangat mendesak bagi melindungi aset negara di kawasan itu.

“Saya menerangkan kepada Abang Johari bahawa Sarawak perlu menjaga keselamatannya kerana di Hulu Rajang terdapat tiga empangan iaitu Murum, Baleh dan Bakun.

“Namun jika tidak ada ICQS, macam mana hendak menjaga (keselamatan),” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan