KUCHING, 14 Okt: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka bakal menyaksikan pementasan teater Hikayat Sarawak Makmur pada 21 Oktober 2023 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak di sini.
Ahli Lembaga Pengelola DBP, Safiee Ahmad berkata pementasan itu diadakan bersempena dengan 60 tahun Sarawak Merdeka serta bakal dipentaskan juga di Johor Bahru.
“Satu majlis khas yang akan kita laksanakan iaitu Pementasan Teater Hikayat Sarawak Makmur. Ini satu karya khas yang kita laksanakan sempena sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka dalam Malaysia,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro itu berkata demikian pada sidang media di DBP Cawangan Sarawak, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu beliau mendedahkan sekitar 500 penonton bakal menonton teater anjuran DBP Cawangan Sarawak itu.
Safiee dalam perkembangan lain memberitahu pencalonan bagi Anugerah Sastera Negeri Sarawak ke-11 akan dibuka pada 16 Oktober 2023 dan berakhir pada 19 Januari 2024.
“Berhubung dengan pencalonan Anugerah Sastera Negeri Sarawak ke-11, untuk makluman anugerah sastera ini dilakukan dua tahun sekali dan untuk kali ini ia akan dilaksanakan pada 2024,” ujarnya.
Selain itu, DBP Cawangan Sarawak turut mengadakan Majlis Anugerah Tinta Kenyalang 2023 pada 20 Oktober ini bagi menyampaikan anugerah kepada lima kategori.
Untuk rekod, lima kategori anugerah tersebut ialah Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak 2023, Hadiah Sastera Tunas Sarawak (HSTS) 2022/2023, Sayembara Penulisan Cerpen Kearifan Tempatan Sarawak, Sayembara Penulisan Sajak 60 tahun Sarawak Merdeka dan Hadiah Sastera Penulis Sarawak (HSPS) 2022/2023.
Turut hadir, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai. – TVS