Search
Close this search box.
Gabungan Kelab Teater Kuching bakal mengadakan pementasan teater bertajuk Hikayat Sarawak Makmur bersempena dengan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka dalam Malaysia. Foto: TVS

Teater Hikayat Sarawak Makmur dipentaskan Sabtu ini

KUCHING, 19 Okt: Teater Hikayat Sarawak Makmur bakal menterjemahkan sejarah dan pencapaian Sarawak dalam mencapai 60 tahun kemerdekaan kepada para penonton pada Sabtu ini, 21 Oktober.

Pengarah Teater Hikayat Sarawak Makmur, Mohamad Helmi Isa optimis pementasan daripada Gabungan Kelab Teater Kuching itu bakal membangkitkan semangat kecintaan orang ramai terutama golongan muda terhadap para pejuang terdahulu.

Menurutnya pementasan yang akan diadakan di Balai Budaya Dewan Bahasa Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak di sini akan menyaksikan peredaran zaman setiap pemimpin negeri ini.

Sesi latihan pementasan Teater Hikayat Sarawak Makmur di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Kuching semalam. Foto: TVS

“Teater ini mengisahkan perjalanan Sarawak sebelum merdeka, proses merdeka, selepas merdeka dan sekarang. Melalui teater ini, kita ingin menyemai rasa kecintaan terhadap Sarawak dalam kalangan anak-anak muda. Bermula daripada zaman perjuangan pejuang terdahulu iaitu Rosli Dhobi, Sarip Masahor diteruskan dengan zaman Tun Datuk Abang Openg Abang Sapiee, ayahanda Premier Sarawak kita.

“Pada zaman sekarang perjuangan ketua-ketua menteri dan sekarang diteruskan perjuangan Premier Sarawak kita, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjaga negeri Sarawak agar sentiasa dipegang anak jati Sarawak,” katanya ketika ditemui TVS selepas tamat sesi latihan pementasan pada Rabu.

Sementara itu, Penulis Skrip Teater Hikayat Sarawak Makmur, Dahiri Saini berkongsi bahawa karyanya itu mengetengahkan konteks kemakmuran yang harus difahami seiring dengan peredaran zaman demi mengekalkannya di negeri ini.

Sesi latihan pementasan Teater Hikayat Sarawak Makmur di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Kuching semalam. Foto: TVS

“Jika kita melihat dari segi konteks kemakmuran, ia memang sudah berlaku sejak dahulu lagi. Contohnya, ramai orang beranggapan bahawa Rajah James Brooke sebagai penjajah tetapi apabila melihat signifikan kepenjajahannya di Sarawak menerapkan sesuatu yang baharu bagi penduduk di Sarawak ini.

“Jadi dalam konteks dalam skrip yang telah saya tulis, saya menerapkan istilah ‘NeoSar’ yang membawa maksud Neo, sesuatu yang baharu dan Sar merujuk Sarawak iaitu kita perlu belajar dunia yang baharu dalam mewujudkan kemakmuran pada hari ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syafaat Zainal Abidin yang memegang watak sebagai salah seorang pemimpin dalam teater tersebut berharap agar pementasan teater ini mendapat sambutan dan mesej yang disampaikan dapat difahami oleh penonton.

Barisan pelakon yang bakal menjayakan pementasan Teater Hikayat Sarawak Makmur pada 21 Oktober ini. Foto: TVS

“Saya berharap pementasan teater ini akan mendapat sambutan orang ramai dan semoga mesej yang ingin disampaikan iaitu Sarawak mempunyai kehidupan yang makmur dapat disampaikan dengan baik kepada penonton,” katanya.

Teater berkenaan menyaksikan seramai 18 orang barisan pelakon bakal menjayakan pementasan Teater Hikayat Sarawak Makmur, Sabtu ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan