Search
Close this search box.
Perdana Menteri Belanda Mark Rutte bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ketika simbolik penanaman pokok sawit yang melambangkan kerjasama erat kedua-dua negara dalam sektor minyak sawit di Lembaga Minyak Sawit Malaysia hari ini. Foto: Bernama

Belanda setuju sokong Malaysia pada mesyuarat MSPO kedua Disember ini – Fadillah

ByBernama

BANGI, 1 Nov: Belanda telah bersetuju untuk menyokong Malaysia di peringkat Kesatuan Eropah (EU) pada mesyuarat kedua berhubung Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang akan diadakan Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata EUDR diperkenalkan oleh negara-negara Eropah mengenai isu penebangan hutan yang akan berkuat kuasa dalam tempoh 18 bulan setelah diluluskan oleh Parlimen Eropah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte sempena lawatan kerja dua hari Perdana Menteri itu ke Malaysia yang berakhir hari ini.

“Kita berbincang bagaimana Belanda boleh menyokong dalam konteks memberikan penjelasan dan penyelesaian terbaik dalam isu ini. Ini termasuk sekiranya mereka (EU) dapat mengiktiraf Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) yang telah kita bangunkan dan mewajibkannya ke seluruh sektor pengeluaran minyak sawit kita.

“Diharapkan agar EU juga bersetuju (dengan mengiktiraf MSPO sebagai proses audit EUDR pada mesyuarat itu) dan dapat membantu kita dalam industri minyak sawit,” kata Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.

Baru-baru ini, beliau berkata pengiktirafan MSPO ini bertujuan untuk memastikan aktiviti penanaman kelapa sawit di negara ini tidak menjejaskan alam sekitar dan dihasilkan berdasarkan amalan pertanian yang baik serta mampan.

“Komitmen kita untuk dunia adalah keluasan hutan kita mesti tidak kurang daripada 50 peratus, jadi kita kena imbangi keperluan untuk penanaman hasilan (sawit). Pada masa yang sama, kita tidak mengorbankan alam sekitar kita. Ini komitmen kita untuk generasi masa depan,” katanya.

Fadillah berkata Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk mesyuarat kedua berhubung EUDR pada Disember ini.

Katanya mesyuarat pertama yang diadakan di Jakarta, Indonesia pada 4 Ogos tahun lepas telah membuahkan beberapa hasil positif untuk Malaysia.

“Namun mesyuarat kedua ini kelak akan memuktamadkan sama ada MSPO akan diterima sebagai sebahagian daripada proses audit di bawah EUDR ini,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan