Search
Close this search box.
Malaysia mencatat nilai eksport minyak sawit berjumlah RM40.51 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023 dengan kuantiti eksport sebanyak 9.66 juta tan. Foto: Bernama.

Malaysia catat nilai eksport minyak sawit RM40.51 bilion dari Januari-Ogos 2023

ByBernama

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Malaysia mencatat nilai eksport minyak sawit berjumlah RM40.51 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023 dengan kuantiti eksport sebanyak 9.66 juta tan, kata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Menurut KPK, India merupakan pengimport utama minyak sawit Malaysia dengan nilai dan kuantiti masing-masing berjumlah RM7.08 bilion dan 1.81 juta tan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023.

“Manakala China pula merupakan pasaran kedua terbesar yang mencatatkan RM3.30 bilion dan 0.85 juta tan, diikuti oleh Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah RM3.10 bilion dan 0.71 juta tan,” kata KPK melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, pada Rabu.

KPK menjawab pertanyaan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang ingin tahu secara lengkap jumlah eksport minyak sawit Malaysia mengikut negara berdasarkan nilai ringgit dan jumlah tan.

Kementerian berkata berdasarkan statistik daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia, pasaran utama dunia bagi eksport minyak sawit Malaysia ialah India, China, Kesatuan Eropah, Turkiye, Kenya, Jepun, Pakistan, Korea Selatan, Filipina dan Arab Saudi.

Mengenai soalan Azman berhubung halangan terkini yang menyekat pengeksportan minyak sawit ke mana-mana negara di dunia, KPK berkata EU telah mengeluarkan satu peraturan iaitu Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang akan berkuat kuasa pada tahun hadapan.

Peraturan EUDR itu adalah satu halangan perdagangan selain menambah beban pentadbiran dan meningkatkan kos pengeluaran yang seterusnya menjadikan minyak sawit kurang berdaya saing berbanding minyak sayuran lain di EU.

“Peraturan EUDR ini akan menyekat perdagangan bebas secara adil serta boleh mengakibatkan kesan buruk ke atas rantaian bekalan global.

“Malaysia dan Indonesia selaku pengeluar utama minyak sawit dunia sedang giat mengadakan libat urus dan perbincangan bersama barisan pemimpin tertinggi EU untuk menjelaskan implikasi negatif peraturan tersebut dari sudut ekonomi,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan