KUCHING, 11 Nov: Usahawan di Sarawak mesti mengadaptasi teknologi terkini dalam model perniagaan mereka dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk berhijrah kepada model perniagaan secara digital atau e-dagang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, berdasarkan keadaan pasca COVID-19, ramai usahawan mula bangkit dan ekonomi mula pulih, peniaga tidak lagi boleh bergantung kepada operasi perniagaan yang konvensional.
“Sekarang kita berada di dunia yang mementingkan kualiti-kualiti kepada perkhidmatan.
“Kita harus menerokai platform-platform yang baharu untuk memastikan kita dapat memperluaskan pasaran produk-produk dan perkhidmatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN Edisi Sarawak di Hotel Grand Margherita di sini, pada Jumaat.
Tambah Awang Tengah, selaras dengan perkembangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sarawak, kementerian beliau juga turut menyediakan pelbagai bantuan keusahawanan kepada usahawan tempatan dari segi kewangan dan bukan kewangan.
“Melalui kementerian saya sahaja pelbagai bantuan keusahawanan ditawarkan seperti Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) merupakan skim pinjaman mudah sehingga RM50,000 yang membantu usahawan B40, pengusaha mikro dan sederhana meneruskan perniagaan di Sarawak.
“Bagi tahun 2021 hingga suku ketiga 2023, sebanyak RM49.5 juta telah disalurkan kepada 1,502 usahawan,” ujarnya.
Selain itu, katanya, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM80.7 juta untuk bantuan subsidi kadar faedah selama tiga tahun setengah kepada PKS yang berjaya melalui skim Special Relief Fund (SRF), Targeted Relief and Recovery Fund (TRRF) dan PENJANA Tourism Facility (PTF).
“Sehingga kini, seramai 3,315 usahawan masih menikmati subsidi kadar faedah bernilai RM77 juta. Kerajaan Sarawak adalah satu-satunya kerajaan di Malaysia yang menawarkan subsidi kadar faedah ini,” katanya.
Awang Tengah berharap agar lebih banyak program lagi program keusahawanan yang dianjurkan oleh INSKEN dilaksanakan di Sarawak.
“Saya ingin menyeru kepada para usahawan untuk memanfaatkan segala bentuk kemudahan yang ditawarkan oleh kerajaan mahupun mana-mana institusi swasta untuk terus berdaya saing dan berkembang sehingga menembusi pasaran global,” tambahnya. -TVS