SIBU, 11 Nov: Seorang maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di simpang Jalan Ulu Oya di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa yang maut dikenali Lungan Engkang, 53, pemandu kereta Proton Saga.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 7 pagi dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan kenderaan Proton Ixora dan Proton Saga. Pemandu Proton Ixora dan tiga penumpang kereta Proton Saga yang cedera telah dihantar ke Hospital Sibu oleh ambulans untuk mendapat rawatan.
“Pemandu Proton Saga disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sibu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa, seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah selesai membuat kerja-kerja pembersihan serpihan akibat kemalangan dan memastikan keadaan selamat kepada pengguna jalan raya yang lain operasi ditamatkan pada jam 8.03 pagi,” katanya. -TVS