BINTANGOR, 6 Dis: Pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Meradong berjalan lancar hasil daripada kerjasama baik semua pihak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kerjasama berkenaan termasuk tindakan pantas agensi pelaksana yang berjaya memastikan projek yang dilaksanakan siap mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.
Menurutnya tidak menafikan ada sebahagian kecil projek yang tertangguh akibat pelbagai kekangan ekoran masalah teknikal.
“Bagi projek RTP setakat ini, saya mengucapkan terima kasih kepada semua agensi pelaksana atas kerja yang baik. Namun, ada beberapa projek yang tertangguh disebabkan masalah teknikal seperti pertukaran tajuk projek dan lain-lain.
“Selain itu, ada projek yang tertangguh daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terutamanya projek sekolah dan saya berharap pihak KPM dapat memperbaiki masalah ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan ke atas projek RTP di sekitar Bintangor hari ini.
Dalam pada itu, Ding menegaskan, kerajaan sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya dalam memastikan pelaksanaan setiap projek berjalan lancar dan sempurna.
Tambahnya, pemantauan secara berterusan juga terus dilakukan di samping meningkatkan tahap kualiti projek dan memberi keselesaan kepada penduduk. – TVS