KUCHING, 28 Mac: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang hari ini meluangkan masa berbuka puasa bersama warga Kumpulan Yayasan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini.
Pada majlis yang dihadiri 1,000 orang dari Kumpulan Yayasan Sarawak itu, beliau turut menyaksikan simbolik penyerahan zakat RM 426,762 daripada Kumpulan Petronesa Sdn Bhd.
Syarikat Sanjung Etika Sdn Bhd pula menyerahkan zakat sebanyak RM 53,938, manakala Pometia Sdn Bhd menyerahkan zakat RM 16,140.
Bayaran zakat itu diterima Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Datu Abang Mohd Sibli Abang Mohd Nailie.
Majlis berkenaan juga disertai anak-anak kakitangan Yayasan Sarawak, pelajar-pelajar Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN), serta penuntut-penuntut Yayasan Sarawak International Secondary School.
Sementara itu, Abang Johari turut menyempurnakan penyampaian sumbangan dan duit raya kepada 50 penerima.
Penyampaian sumbangan terdiri daripada 20 pelajar anak-anak Yayasan Sarawak, 15 pelajar dari Yayasan Sarawak International Secondary School Petra Jaya dan Kuching serta 15 pelajar Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN).
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.