Search
Close this search box.
Jenazah Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam Kampung Ruat, di sini, pada pukul 9.55 malam ini. Foto Bernama

Jenazah dua mangsa tragedi helikopter selamat dikebumikan di Kedah

ByBernama

YAN, 24 April: Jenazah Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, 39, yang maut dalam tragedi helikopter yang terhempas di Lumut, Perak semalam, selamat dikebumi dengan penuh istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam Kampung Ruat, di sini pada 9.55 malam ini.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan sepanjang proses pengebumian berlangsung.

Jenazah Noor Rahiza dikebumikan berhampiran kubur arwah ibunya, Ratipa Yahaya yang meninggal dunia pada Julai tahun lepas.

Kira-kira 500 orang hadir di tanah perkuburan itu terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan selain orang ramai.

Terdahulu, jenazah Noor Rahiza dibawa ke rumah keluarganya di Taman Perumahan Awam 2, dekat sini pada 8.40 malam bagi membolehkan ahli keluarga dan kenalan terdekat melihat dan memberi penghormatan terakhir.

Selepas itu, jenazah dibawa ke Masjid Haji Nyak Gam Kampung Ruat pada 9.07 malam untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Allahyarhamah meninggalkan suami dan empat anak termasuk pasangan kembar berusia lingkungan enam hingga 16 tahun.

Sementara itu, jenazah Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun, 36, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sik Dalam, Sik kira-kira 10.10 malam.

Jenazah Muhammad Faisol dikebumikan dengan istiadat pengebumian Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersebelahan pusara ibunya, Fatimah Abdullah yang meninggal dunia Ogos tahun lepas.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak, tiba di rumah kakak sulungnya, Noryani Tamadun, 50, di Kampung Tanjung, Sik pada 8.55 malam, yang turut dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga, jiran dan kenalan bagi memberikan penghormatan terakhir.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Al-Muhtadin Sik Dalam dan disolatkan lebih 1,000 jemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Al-Muhtadin, Abdullah Taib.

Sementara itu, Noryani bersyukur kerana urusan membawa pulang jenazah adiknya berjalan lancar sehingga Allahyarham dikebumikan.

“Alhamdulillah jenazah Dik Mat sempurna…kunjungan ahli keluarga dan rakan-rakan ke rumah juga tidak putus-putus sejak semalam untuk mengucapkan takziah.

“Pihak tentera juga berada di sini sejak 4 petang tadi mengadakan raptai sebelum ketibaan jenazah…terima kasih kepada semua yang membantu memudahkan urusan arwah,” katanya kepada pemberita.

Allahyarham Muhammad Faisol yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik meninggalkan seorang isteri, Nor Syuhada Jamil, 37, dan dua anak perempuan berusia enam dan 10 tahun. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan