KUCHING, 8 Mei: Kerajaan Sarawak komited memperjuangkan tuntutan bagi penambahan sekurang-kurangnya 35 peratus kerusi bagi wakil Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata ia adalah selaras dengan hasil laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang menggariskan perlindungan bagi kepentingan khas Sabah dan Sarawak berkaitan perkara tersebut sebagai kebebasan beragama, pendidikan, perwakilan dalam Parlimen, kedudukan kaum pribumi, mengawal imigresen, kewarganegaraan, dan perlembagaan negeri.
Menurut Sharifah Hasidah, usaha untuk mendapatkan pertambahan kerusi Parlimen itu diteruskan di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mesyuarat pertama MTPMA63 telah diadakan pada 20 Januari 2023 dan telah memutuskan bahawa perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam jawatankuasa kerja yang diketuai oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri.
“Mesyuarat jawatankuasa kerja telah bermesyuarat sebanyak dua kali, dan kertas jawatan sekali lagi dibentangkan dan dibincangkan. Keputusan mesyuarat kemudiannya akan dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal akan datang yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau pada Persidangan Hari ketiga, Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Terdahulu, Dennis mengajukan pertanyaan berkaitan status terhadap tuntutan Sarawak berkaitan pertambahan kerusi perwakilan Borneo di Parlimen.
Sehubungan itu, Sharifah Hasidah memberitahu Kerajaan Sarawak telah memulakan langkah untuk mendapatkan pertambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak sejak 23 Ogos 2022.
Beliau memberitahu kertas cadangan itu telah membentangkan pertambahan kerusi Parlimen Sarawak kepada Jawatankuasa Rakan Sekutu (JKRS) yang pada ketika itu dipengerusikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu iaitu Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. – TVS