KUCHING, 20 Mei: Kelab Pencegahan Jenayah merancang untuk mengadakan program pencegahan jenayah berskala besar di Sarawak sempena dengan sambutan ulang tahun ke-25 kelab tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kelab Pencegahan Jenayah, Dato Sri Johnny Ch’ng Ewe Gee berkata, cadangan program itu telah diusulkan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa kunjungan hormat hari ini.
“Saya ingin buat satu program di (bekas) sekolah Tun, maksudnya sama ada sekolah rendah, menengah atau universiti yakni kita akan buat program ‘back to school with Tun’ dan nama khusus program ini nanti akan dicadangkan atas nasihat Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
“Saya akan berjumpa dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak supaya program ini dapat dijalankan,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut Ch’ng lagi, Tun Wan Junaidi merupakan tokoh yang sesuai untuk program itu.
“Saya memilih Tun juga adalah disebabkan beliau seorang tokoh yang saya sanjung tinggi, dulu kami pernah bekerjasama dalam Kementerian Dalam Negeri.
“Beliau pernah menggalas tugas sebagai anggota polis, jadi inilah tokoh yang kita mahukan dan layak bersama kita pada program itu nanti agar dapat menjadi contoh kepada anak murid dan para belia. Jadi saya berharap Tun sudi untuk bersama kita,” katanya.
Mengulas berhubung program tersebut, Ch’ng berkata beliau akan menjemput panel seperti pakar atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberi perkongsian mengenai pencegahan jenayah.
Ini kerana menurutnya, kes jenayah pada ketika ini amat membimbangkan dengan kadar jenayah ‘scammer’ semakin meningkat.
“Saya nampak sekarang jenayah penipuan sedang berleluasa dan tumpuan kita adalah sekolah menengah yakni remaja ini sedang agresif dan saya sasarkan seramai 1,000 orang akan hadir termasuklah para panel jemputan.
“Untuk pengisian program, kita jangkakan untuk buat pameran atau mengadakan aktiviti dua hari satu malam,” katanya.