KUCHING, 24 Mei: Satu khabar gembira menanti pengamal media pada Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang akan bermula di sini, esok.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberitahu perkhabaran itu akan diumumkan pada acara kemuncak Hawana 2024, Isnin depan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Insya-Allah, kita ada beberapa pengumuman baik untuk rakan-rakan media,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Kunjungan hormat itu juga bertujuan untuk menjemput Tun Wan Junaidi bagi menghadiri jamuan makan malam HAWANA 2024 yang turut menjemput Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengenai persiapan sambutan HAWANA 2024, Fahmi berkata segalanya berjalan baik dan lancar.
“Bezanya tahun ini, kita akan melibatkan lebih ramai (penyertaan) pelajar bersama wartawan supaya mereka lebih mengenali bidang kewartawanan ini.
“Kita juga menjemput lebih banyak media antarabangsa termasuk enam organisasi media daripada ASEAN.
“Kita berharap ini akan menjadi titik permulaan menjelang Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun depan,” katanya.
Hawana 2024 akan berlangsung selama tiga hari bermula esok sehingga 27 Mei.
Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan ‘Evolusi Media dalam Era Digital’ juga diadakan serentak bermula Ahad dan dijadual dirasmikan oleh Abang Johari.
Memasuki edisi keempat, Kuching menjadi tuan rumah bagi edisi kali ini selepas Kuala Lumpur (2018), Melaka (2022) dan Perak pada tahun lepas. – TVS