Search
Close this search box.
Prabowo Subianto berucap semasa Dialog Shangri-La ke-21 di Singapura, pada Sabtu. Foto AFP

Indonesia sedia hantar pasukan pengaman ke Gaza

ByBernama

JAKARTA, 3 Jun: Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto, yang juga presiden terpilih dan akan mengangkat sumpah jawatan pada Oktober, mengesahkan kesediaan Indonesia untuk menghantar pasukan pengaman ke Semenanjung Gaza jika perlu.

Penghantaran ini bertujuan untuk memantau gencatan senjata masa depan antara Palestin dan Israel, lapor agensi berita ANTARA.

“Kami bersedia menyumbangkan pasukan pengaman untuk mengekalkan dan memantau gencatan senjata nanti serta memberikan perlindungan dan keselamatan kepada semua pihak,” kata Prabowo dalam ucapannya semasa Dialog Shangri-La ke-21 di Singapura, pada Sabtu.

Kesediaan untuk menyumbangkan pasukan pengaman menekankan komitmen Indonesia untuk mengekalkan keamanan di Gaza dan merealisasikan gencatan senjata yang berpanjangan antara pihak yang bertelagah, katanya.

Beliau berkata ini mencerminkan sokongan Indonesia terhadap penyelesaian dua negara sebagai resolusi akhir kepada konflik Israel-Palestin.

Menteri itu juga mengesahkan bahawa Indonesia bersedia menghantar petugas perubatan untuk mengendalikan hospital lapangan di Gaza, dengan persetujuan semua pihak yang berkaitan.

“Indonesia juga sangat bersedia untuk membawa keluar dan merawat orang awam Palestin yang cedera dan memerlukan rawatan di hospital lapangan Indonesia,” kata Prabowo.

Beliau mendedahkan bahawa Presiden Joko Widodo telah mengarahkannya untuk membawa keluar, menerima, dan memberikan rawatan perubatan kepada 1,000 pesakit dari Palestin dalam masa terdekat.

Di forum antarabangsa berkenaan, menteri itu menyeru semua pihak untuk bekerjasama dalam merealisasikan gencatan senjata yang komprehensif dan kekal serta keamanan yang berpanjangan antara Palestin dan Israel.

Prabowo berkata walaupun Gaza berada di Timur Tengah dan bukan di Asia Tenggara, konflik itu menjadi perhatian utama rakyat Indonesia yang bersimpati terhadap penderitaan rakyat Palestin yang mereka anggap sebagai saudara mereka.

Indonesia juga memahami keperluan untuk menyelesaikan konflik yang telah berlarutan selama beberapa dekad tanpa penyelesaian konkrit, katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan