LIMBANG, 5 Jun: Projek Dataran Bandar Limbang bernilai RM3 juta yang dijangka siap Julai ini akan menyediakan kemudahan lot parkir sekali gus menyelesai masalah kekurangan parkir di bandar Limbang.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Datuk Abdul Rahman Ismail berkata, projek di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) apabila siap, menyediakan 173 lot parkir (fasa satu) dan disambung untuk fasa dua yang bakal menempatkan sekitar 300 lot parkir keseluruhan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota optimis projek mega yang dinanti rakyat itu mampu menarik lebih ramai kemasukan pengunjung luar terutama dari negara jiran Brunei dalam merancakkan lagi sektor ekonomi daerah itu.
“Kita akan memohon peruntukan tambahan untuk fasa kedua, bagi melengkapkan sasaran awal kita untuk menyediakan sebanyak 300 lot parkir kereta di kawasan Dataran Bandar Limbang.
“Saya percaya ia akan dapat memberi penyelesaian tuntas terhadap masalah yang selalu kita hadapi di Limbang iaitu kekurangan lot parkir disebabkan oleh pembangunan dan kemasukan rakyat asing terutama dari negara Brunei setiap minggu,” katanya ketika ditemui selepas Lawatan Ke Tapak Projek Dataran Bandar Limbang hari ini.
Mengulas lanjut, kata Dr Abdul Rahman Limbang memerlukan kemudahan lot parkir yang mencukupi terutama untuk menampung kemasukan pengunjung dari negara jiran Brunei.
Projek itu katanya lagi, akan menempatkan kemudahan seperti trek jogging, mini pentas untuk menyaksikan kejohanan bola sepak dan kawasan lapang untuk pelbagai guna, terutamanya lot parkir kereta.
Beliau mahu Majlis daerah Limbang (MDL) untuk menjaga prasarana itu sebaiknya selain memastikan masyarakat dapat memanfaatkan kemudahan itu untuk kegiatan rekreasi dan kesihatan. -TVS.