Search
Close this search box.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail (dua, kanan) menunjukkan bagasi menyeludup tembakau pada sidang media hari ini. Foto Bernama

Kastam gagalkan cubaan seludup tembakau kunyah lebih 5000 kg

ByBernama

SEPANG, 13 Jun: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Unit III (LTAKL) Zon Tengah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk tembakau kunyah seberat kira-kira 5,000 kilogram (kg) melibatkan nilai duti lebih RM409,000 dalam tiga kes, antara Mei hingga awal Jun ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata dua kes berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan satu lagi kes di kawasan Zon Perdagangan Bebas (FCZ) KLIA.

Tembakau kunyah merupakan barang larangan yang disenaraikan dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, Item 66, Jadual 2, Butiran 3.

Bercakap dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata pada 29 Mei lepas, Bahagian Penguatkuasaan Unit III (LTAKL) Zon Tengah menahan dan menyita 2,700 kg dagangan tembakau kunyah yang cuba diimport tanpa permit import sah di FCZ KLIA.

“Modus operandi adalah dengan mengisytiharkan dagangan sebagai ‘console cargo’ dengan nama pengimport palsu. Selepas dagangan ditahan, tidak ada mana-mana pihak atau ejen mahupun pengimport yang hadir bagi menuntut dagangan tersebut dan mengemukakan dokumen pengimportannya,” katanya.

Bagi kes kedua pada 3 Jun lepas di KLIA Terminal 1, Norlela berkata dua lelaki bukan warganegara yang tiba dari sebuah negara Asia Selatan, masing-masing berumur 23 dan 25 tahun, ditahan kerana menyeludup 57.9 kg tembakau kunyah.

Beliau berkata tembakau itu diletakkan dalam dua bagasi yang dibawa secara daftar masuk namun suspek gagal mengemukakan permit sah dan mereka disyaki datang secara berkumpulan.

“Ini adalah berdasarkan kepada penemuan 88 bagasi lain yang telah ditinggalkan di karusel bagasi setelah dua lelaki tersebut ditahan.

“Hasil semakan mendapati kesemua bagasi tiba dalam penerbangan sama seperti mereka dan dipercayai ahli sindiket lain sengaja meninggalkan 88 bagasi tersebut setelah kegiatan mereka terbongkar,” katanya sambil menambah pihaknya menemukan tembakau kunyah seberat 2,250 kg pada kumpulan bagasi tersebut.

Sementara itu dalam kes ketiga pada 7 Jun lepas, beliau berkata dua lelaki bukan warganegara yang tiba dari sebuah negara Asia Selatan masing-masing berusia 33 dan 55 tahun ditahan akibat kesalahan sama dengan 60 kg tembakau kunyah disita.

Menurut Norlela, mereka didapati sering memasuki Malaysia dan berada dalam negara untuk tempoh singkat malah telah mempunyai tiket penerbangan ke negara asal pada 14 Jun.

Kes di FCZ KLIA katanya disiasat di bawah Peraturan 30 (1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1991 manakala dua kes di Terminal 1 KLIA disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (f) Akta Kastam 1967.

Dalam kes berasingan, Norlela berkata JKDM telah menahan seorang lelaki Amerika Syarikat berumur 67 tahun di Terminal 1 KLIA pada 4 Jun lepas atas kesalahan menyeludup dadah jenis kokain dengan anggaran berat 2.245 kg bernilai RM449,000.

“Lelaki itu didapati menaiki penerbangan dari Sao Paolo, Brazil kemudian transit di Doha, Qatar sebelum tiba di Malaysia.

“Sindiket telah merekrut warga emas untuk membawa bagasi yang diisi dengan dadah untuk dibawa ke destinasi yang ditetapkan dan lelaki itu direman sehingga 18 Jun,” katanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan