KUCHING, 27 Jun: Seramai 73 penderma berjaya menyertai kempen derma darah anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), pada Rabu.
Kempen derma darah itu turut dijayakan dengan kerjasama Bank Darah Hospital Umum Sarawak (DGH) serta pusat beli-belah Plaza Merdeka.
Menurut Pengarah UNIFOR, Datu Jack Aman Luat, ini adalah sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk menyumbang kepada masyarakat.
“Saya amat gembira dengan kehadiran yang baik hari ini. Ini adalah kali kedua kami menganjurkan kempen derma darah untuk membantu menambah bekalan darah untuk Hospital Umum Sarawak.
“Kami bercadang untuk meneruskan penganjuran program ini dan mengalu-alukan agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk bekerjasama dengan kami pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Terdahulu, UNIFOR turut menganjurkan kempen derma darah pertamanya untuk tahun 2024 bersama UKAS.
Mereka yang datang menderma termasuk pengamal media di bawah jemputan KDJA serta orang ramai yang hadir di pusat beli-belah berkenaan. – TVS