Search
Close this search box.

Premier Sarawak mahu rakyat berpendapatan tinggi, tekankan kepentingan ilmu pengetahuan

KUCHING, 7 Julai: Kerajaan Sarawak mengambil keputusan untuk memberikan pendidikan percuma kepada anak Sarawak di universiti milik Sarawak pada 2026 kerana menyedari hanya ilmu pengetahuan memastikan taraf hidup rakyat meningkat dan seterusnya meningkatkan pendapatan isi rumah.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai negeri berpendapatan tinggi pada tahun lalu.

“Sehubungan itu, kita juga¬†mahu rakyat berpendapatan tinggi. Kalau orang kampung mahu menjadi sebuah komuniti yang mendapat pendapatan yang baik, hijrahkan kita hari ini ke arah cara yang baharu dengan menimba ilmu baharu.

“Jadi, terpulang kepada anak kita, kalau orang Islam mahu berhijrah, ilmu ini adalah penting dan ilmu menjadi asas untuk membangunkan diri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah Peringkat Sarawak Tahun 1446H/2024M di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching hari ini.

Turut hadir ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datu Misnu Taha dan Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Sarawak untuk mengubah cara hidup seseorang seperti yang ditekankan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) iaitu pembangunan sesebuah negara.

“Bagi Sarawak, kita menjadikan Piagam Madinah sebagai rujukan di mana kita hanya mengolahkan ia mengikut acuan Sarawak.

“Kita olahkan pendekatan kita untuk menaikkan taraf hidup kita melalui pendidikan dan pegangan yang kuat di kalangan umat Islam untuk berusaha ‘Fi Sabilillah’,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap agar Sarawak akan terus berhijrah ke arah kebaikan dan menjadikan wilayah ini sebagai sebuah wilayah maju dan makmur menjelang 2030.

Antara universiti tempatan milik Sarawak yang bakal menawarkan pendidikan percuma menjelang 2026 ialah Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak, Universiti Curtin, Kampus Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Universiti I-CATS. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan