Search
Close this search box.

Sarawak tekad ‘berhijrah’, komited tangani dua cabaran dunia -Abang Johari

KUCHING, 7 Julai: Sarawak bertekad untuk ‘berhijrah’ sebagai negeri maju dan berpendapatan tinggi dengan menangani dua cabaran yang dihadapi wilayah ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dua cabaran itu ialah perubahan iklim serta keterjaminan makanan.

“Perubahan iklim merupakan cabaran global di mana Sarawak turut tidak terkecuali dan Sarawak telah meneroka tenaga alternatif iaitu tenaga hidrogen yang merupakan tenaga alternatif terbaik bagi menggantikan tenaga sedia ada. Sarawak beruntung kerana dikurniakan Tuhan sumber yang kaya yang boleh memberi manfaat kepada manusia sejagat.

“Selain itu, isu keterjaminan makanan turut menjadi cabaran kita kerana sebagai contoh beras merupakan satu makanan yang penting dan mustahak untuk kita.

“Disebabkan itu, Sarawak mengambil keputusan untuk menanam padi di Lubuk Punggor di Gedong hasil kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menggunakan padi hibrid dan kita berjaya mengeluarkan lapan tan beras bagi satu hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah Peringkat Sarawak Tahun 1446H/2024M di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching hari ini.

Turut hadir ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datu Misnu Taha dan Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin.

Beliau percaya ‘penghijrahan’ yang dilakukan Kerajaan Sarawak mampu mengatasi masalah dunia pada hari ini.

Abang Johari mengakui walaupun Sarawak merupakan sebuah wilayah yang kecil di dunia namun wilayah ini mahu mengambil bahagian yang aktif dalam menyumbang semula ke arah kebaikan untuk dimanfaatkan manusia sejagat.

“Penghijrahan Sarawak kini dipandang oleh negara luar di mana saya dijemput untuk memberi ceramah di Sydney, Australia dan Hong Kong kelak mengenai cara Sarawak dalam melestarikan alam sekitar,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan