Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan kepentingan integrasi cip mampu milik dan berprestasi tinggi dalam peralatan perubatan. Foto Zaim Zharfan (TVS)

Trend peranti perubatan menerusi AI meningkat – Abang Johari

KUCHING, 10 Julai: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengakui bidang peranti perubatan kini sedang berkembang dengan pesat dengan kemajuan dalam teknologi mikroelektronik dan cip.

Sehubungan itu menurut beliau mengintegrasi cip mampu milik dan berprestasi tinggi dalam peralatan perubatan amat penting berikutan ia dapat memanfaatkan perkembangan terkini menerusi kecerdasan buatan (AI) dan AI generatif.

“Saya ada berbincang sebentar tadi dengan Pengerusi Melexis Françoise Chombar mengenai pembangunan dan kemajuan teknologi dalam industri cip berikutan kita melihat berlakunya peningkatan trend peralatan peranti perubatan.

“Dengan perkembangan AI, semuanya bergantung pada bagaimana cip tersebut direka dan dihasilkan, memberikan kekuatan kepada peranti yang mempunyai ‘integrated chip‘,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Bangunan Baharu Melexis (Malaysia) Sdn Bhd di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Pengerusi Melexis Françoise Chombar dan Duta Besar Belgium ke Malaysia Peter Van Acker.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kerjasama antara Melexis dan inisiatif SMD Semiconductor pada tahun 2022 merupakan satu langkah penting dalam memajukan teknologi cip di Sarawak kerana ia dapat melahirkan pereka bentuk mahir yang mampu menyesuaikan diri dengan kemajuan moden, terutamanya dalam bidang penjagaan kesihatan.

Abang Johari juga menekankan dedikasi Kerajaan Sarawak untuk bekerjasama rapat dengan institusi dan universiti tempatan bagi memupuk usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang kukuh.

Kerjasama berkenaan diakui beliau penting untuk mencipta peranti dan peralatan perubatan yang canggih yang memenuhi keperluan penjagaan kesihatan masa kini dan masa depan.

“Kami berkongsi kekuatan kami dengan anda, dan anda berkongsi kekuatan anda dengan kami, memastikan kami seiring dengan teknologi terkini dalam semua sektor pembangunan kami,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan fokus strategik Sarawak untuk mempelbagaikan dan mengamalkan industri berteknologi tinggi, memanfaatkan kekuatan wilayah ini dalam penjanaan tenaga alternatif.

Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak telah menetapkan sasaran untuk menghasilkan 10 gigawatt kuasa menjelang tahun 2030 dengan menggandakan kapasiti terpasang sedia ada.

Matlamat itu secara tidak langsung menekankan komitmen Kerajaan Sarawak untuk meneroka pelbagai teknologi tenaga boleh diperbaharui bagi menyokong pertumbuhan aktiviti ekonomi setempat.

Melexis, peneraju global dalam mikroelektronik, mahu memenuhi peningkatan permintaan global bagi semikonduktor yang dijangka akan meningkat sebanyak dua kali ganda dalam masa 10 tahun akan datang selain mempunyai 90 buah peralatan ujian wafer semikonduktor yang digunakan untuk menguji Litar Bersepadu (IC). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan