JAKARTA, 15 Julai: Seramai lebih 7,486 orang kehilangan tempat tinggal dan dipindahkan akibat banjir dan tanah tuntuh yang melanda Gorontalo di utara Sulawesi, Indonesia.
Berdasarkan laporan yang diterima Badan Pengurusan Bencana Negara (BNPB) hari ini, air menenggelamkan Gorontalo sehingga ketinggian 150 sentimeter di beberapa kawasan.
Menurut jurucakap BNPB Abdul Muhari, intensiti hujan yang tinggi menyebabkan banjir ini menjadi yang terburuk di Gorontalo tahun ini dan status kecemasan pengurusan bencana banjir dan tanah runtuh telah diisytiharkan oleh kerajaan tempatan.
“Banjir yang merebak di sana menyebabkan jumlah mangsa terjejas agak ramai manakala usaha pemindahan masih dijalankan oleh pihak berkuasa berikutan pengisytiharan darurat pengurusan bencana,” katanya.
Beliau turut mendedahkan terdapat sembilan kawasan terjejas banjir antaranya Kota Barat, Kota Utara, Kota Selatan, Kota Tengah, Kota Timur, Dumbo Raya, Hulonthalangi, Dungingi dan Sipatana dengan jumlah keseluruhan 4,686 rumah dinaiki air.
Selain banjir, tanah runtuh turut melanda beberapa wilaya antaranya Kota Barat, Hulanthalangi, Leato Utara, Leato Selatan, Botu dan Dumbo Raya.
Usaha pemindahan penduduk ke 59 lokasi pemindahan sementara dan pengedaran bantuan akan diteruskan sehingga tamat tempoh kecemasan sehingga 24 Julai depan. -TVS