KUCHING, 18 Julai: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan sokongan psikologi kepada keluarga mangsa bunuh, Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri yang menyantuni keluarga allahyarham turut menyampaikan sumbangan Bantuan Skim Pemberian Ehsan Kepada Keluarga Mangsa (PEKA YKN) berjumlah RM3,000 sebagai bantuan segera.
Selain itu katanya, pihak kementerian telah menempatkan keluarga arwah di Rumah Tamu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta menyediakan kenderaan untuk kegunaan keluarga arwah.
‘Berhubung dengan kes arwah, saya dimaklumkan bahawa jenazah masih lagi di Hospital Sg. Buluh sementara menunggu keputusan ujian DNA yang mengambil masa.
“Saya juga bertanya sama ada jenazah akan dibawa ke Miri atau di mana, sebab biasanya kami akan bekerjasama dengan Rumah Sarawak yang sering membantu penghantaran jenazah orang Sarawak di Semenanjung untuk dibawa balik ke negeri,” katanya.
Dalam hal ini, Nancy dimaklumkan keluarga telah memutuskan untuk mengebumikan jenazah di Pahang, iaitu di kampung kakak ipar arwah.
“Bagi pihak Sarawak saya mengambil peluang untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada UPSI khususnya kerana membantu menyantuni keluarga arwah,” ujarnya.
Terdahulu, Malaysia digemparkan dengan kehilangan Nur Farah Kartini sejak Rabu selepas dipercayai menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemui meninggal dunia di ladang sawit di Hulu Selangor.
Mayat wanita berusia 25 tahun itu ditemukan kira-kira jam 6 petang dan dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya. -TVS