Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah dalam sidang media berkenaan skim Manfaat Kesihatan untuk Warga Emas (SCHB), hari ini. Foto Muhammad Gustie (TVS)

Kerajaan Sarawak peruntuk RM50 juta bagi skim Manfaat Kesihatan Warga Emas – Fatimah

BySheera Abg Mansor

KUCHING, 18 Julai: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi pelaksanaan Skim Manfaat Kesihatan untuk Warga Emas (SCHB) bermula 22 Julai ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata sebanyak 13 hospital swasta telah dilantik sebagai hospital panel iaitu tambahan kepada 95 klinik yang bersetuju dilantik sebagai klinik panel bagi SCHB sebelum ini.

Menurut Fatimah, surat lantikan kepada klinik mahupun hospital yang telah disenaraikan sebagai panel akan dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS).

“Senarai warga emas yang layak akan dikemukakan kepada klinik dan hospital panel dan boleh didapati dalam sistem,” katanya dalam sidang media mengenai skim SCHB di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Fatimah memberitahu, tambahan sebanyak 13 hospital swasta tersebut bertujuan memberi lebih banyak pilihan kepada warga emas berbanding hanya bergantung kepada klinik perubatan dan hospital kerajaan sedia ada yang semestinya mempunyai senarai menunggu giliran yang panjang.

“Ini sangat menyukarkan warga emas. Kadang-kadang sehingga tertidur ketika menunggu di klinik ketika menunggu giliran.

“Jadi, kita nak bantu untuk pendekkan masa menunggu dengan memberi mereka alternatif lain untuk mendapatkan kemudahan rawatan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, sebagai permulaan, skim SCHB yang akan memulakan permohonan dan perkhidmatannya pada 22 Julai kelak akan dimulakan dengan penerima bantuan kebajikan sedia ada dibawah JKMS iaitu seramai 75, 137 orang.

Menurutnya, penerima ini adalah warga emas yang dikategorikan miskin menerusi data Pengurusan Bantuan Kebajikan Negeri (SWAM) dan data kemiskinan kebangsaan E-Kasih yang masing-masing berjumlah 26, 096 dan 49, 041 penerima.

“Mereka ini memang sudah ada dalam sistem dan tidak perlu memohon. Jadi, selebihnya kita anggarkan dalam tahun ini sahaja akan ada 100,000 pemohon baru,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fatimah turut memaklumkan pengurangan jumlah bantuan bagi Bantuan Ihsan Kematian (BIK) kepada pemegang Kenyalang Gold Card (KGC) yang layak daripada kadar sedia ada RM3,000 kepada kadar baharu iaitu RM1,800 bermula 1 Julai 2024.

Jelasnya, sebahagian baki yang ditolak daripada BIK ini akan digunakan menerusi skim SCHB bagi memberi manfaat kepada warga emas semasa hayat mereka.

Semakan kelayakan dan permohonan boleh dibuat menerusi pautan Sarawak Service, https://sarawak.gov.my, laman sesawang KPWK, https://kpwk.sarawak.gov.my dan laman sesawang JKMS, https://welfare.sarawak.gov.my.

Majlis pelancaran bagi SCHB pula akan diadakan di Sibu pada 10 Ogos 2024 sempena Sambutan Hari Wanita 2024 dan akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan