KUCHING, 18 Julai: Individu atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes pembunuhan, Nur Farah Kartini Abdullah di minta untuk tampil segera agar siasatan berjalan lancar, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.
“Biar pihak polis buat kerja mereka,” tegasnya ketika diminta mengulas berhubung kes yang mengorbankan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terbabit.
Menurut Fatimah, kerjasama daripada mereka yang mempunyai maklumat diyakini akan mempercepat urusan penyiasatan kes sekali gus membantu keluarga mangsa menuntut keadilan.
“Siapa-siapa yang dapat membantu dalam kes ini diharap dapat mengambil inisiatif untuk membantu secepat mungkin,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fatimah menzahirkan ucap takziah kepada keluarga Allahyarham sambil mengakui kematian arwah merupakan suatu musibah kepada keluarga mereka.
“Kematian dalam keluarga itu sememangnya satu musibah yang besar kepada keluarga yang sangat berharap akan kepulangan anak mereka.
“Dan kita berdoa supaya mereka diberi kekuatan dalam saat-saat sukar seperti ini,” katanya.
Misteri kehilangan Nur Farah Kartini yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak Rabu lalu terungkai selepas mayatnya ditemukan di Felda Gedangsa, Kuala Kubu Baharu, dipercayai dibunuh pada Isnin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mayat mangsa yang berusia 25 tahun itu ditemui kira-kira jam 6 petang. – TVS