BINTULU, 20 Julai: Bintulu merupakan bandar pertama di dunia menghasilkan industri pengeluaran mentega berasaskan gas, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Inovasi berkenaan menurut beliau sinonim dengan Bahagian terbabit yang diakuinya antara bandar yang mengusahakan sektor minyak dan gas di Sarawak.
Sehubungan itu, Dr Sim optimis pengeluaran mentaga berasaskan gas akan menarik lebih banyak lagi pelabur ke Sarawak.
“Dalam dunia ini tiada sesiapa yang membuatnya. Ini adalah Bintulu. Bintulu bukan hanyalah jungle of borneo. Sekarang kita (Bintulu) yang pertama akan menukarkan gas kepada mentega,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain bersempena sambutan Perayaan Hari Sarawak tahun 2024 yang diadakan di Dewan Suarah Bintulu di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan lain lagi.
Terdahulu, majlis pada sebelah pagi tadi menyaksikan sesi bacaan doa dari enam agama iaitu agama Baha’i, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh dan Tao sempena Hari Sarawak yang disambut di Lapangan Terbang Lama Bintulu, di sini. – TVS