BAU, 24 Julai: Projek menaik taraf jalan raya Kuching – Bau sepanjang 3.6 kilometer (km) dilaporkan mengalami kelewatan sebanyak 2.38 peratus, kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidil Lariwoo.
Menurutnya kerja pembinaan laluan tunggal R5 Standard Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Dual Carriageway U5 Standard JKR itu dipengaruhi beberapa pengurusan yang melibatkan penempatan semula utiliti serta perumahan penduduk setempat.
“Walau bagaimanapun sekarang ini kontrak kerja kerja mengalami sedikit kelewatan iaitu sebanyak lewat sebanyak 2.38 peratus yang prestasi fizikal sebanyak 1.32 peratus berbanding 3.7 peratus jadual.
“Hal ini kerana masalah seperti utiliti bekalan air, elektrik, telekom dan juga struktur banyak struktur rumah-rumah terlibat di dalam .. pembinaan jalan yang sedang dilakukan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke tapak projek menaiktaraf jalan Kuching-Bau di Bau pada Rabu.
Tambahnya pelaksanaan projek berkenaan termasuk pembinaan jambatan konkrit membabitkan peruntukan berjumlah RM 74 juta.
Projek tersebut difahamkan telah diberi tempoh selama 28 bulan untuk disiapkan bermula pada 21 Februari 2024 dan dijangka akan siap pada 19 Jun 2026.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak, Datuk Henry Harry Jinep dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh. -TVS