KUCHING, 26 Julai: Sarawak diminta untuk mempertimbangkan menjadi tuan rumah penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Seborneo pada tahun depan.
Majlis itu melibatkan peserta dari Indonesia, Brunei dan Malaysia.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha berkata, permintaan itu disuarakan ketika beliau menerima kunjungan dari Silaturrahim Lembaga Pengembangan Tilawatil Qur’an (LPTQ) Kalimantan Barat, Indonesia hari ini.
Jelas beliau, perkara itu akan dimaklumkan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terlebih dahulu untuk mendapatkan persetujuan.
“Saya mengatakan kita akan berusaha dan memohon kelulusan kerajaan negeri.
“Namun dalam hal mengembangkan Al-Quran, (tumpuan) bukan hanya kepada Al Quran bahkan kita (luaskan) dengan perkembangan Islam, bukan hanya di Sarawak bahkan di seluruh Borneo dan rantau Nusantara ini,” katanya kepada TVS.
Tambah Misnu, perbincangan lanjut juga akan diadakan dengan pihak berkuasa agama di Indonesia dan Brunei.
Rombongan hari ini diketuai oleh Ketua Lembaga Pengembangan Tilawatil Qur’an Kalimantan Barat, Indonesia, Drs. H. Andi Musa. – TVS