ALOR SETAR, 27 Julai: Ketua jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak berpandangan pasukan yang dikendalikannya itu mampu menjadi antara empat pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia dalam tempoh tiga tahun ini.
Namun begitu menurut Aidil, kejayaan itu dapat dicapai sekiranya anak-anak buahnya mampu memberikan saingan terbaik dan sentiasa meningkatkan mutu permainan.
“Saya rasa dalam masa tiga tahun ini Kuching City akan menjadi sebuah pasukan yang hebat dengan adanya pemain tempatan yang muda yang turut mempunyai pengalaman di bawah usia 30 tahun seperti contoh Nur Shamie Iszuan, Rodney Celvin (Bonai), Alif Hasan.
“Ini adalah barisan pemain yang mampu melonjakkan Kuching City serta membantu pemain muda yang lain seperti Diego Baggio dan Filemon Anyie Standly. Ia akan mengambil masa untuk membina sebuah pasukan yang ampuh sekali gus meningkatkan keserasian bersama pemain import,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bertandang ke Alor Setar bagi menentang pasukan Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super di sini, malam tadi.
Aidil menyatakan keyakinanya selepas melihat prestasi cemerlang dipamerkan anak-anak buahnya dalam beberapa perlawanan sejak kebelakangan ini.
Terdahulu, Kuching City FC berjaya mengikat tuan rumah dengan keputusan 1-1 sekali gus memusnahkan harapan Kedah FC untuk mengutip tiga mata di laman sendiri.
Keputusan seri itu menyaksikan Kuching City dan Kedah FC berkongsi mata dengan tujuh pungutan mata setelah mengharungi enam perlawanan setakat ini. – TVS