KOTA BHARU, 28 Julai: Kelantan Darul Naim (KDNFC) bakal melakukan beberapa perubahan dan tindakan drastik sebelum perlawanan seterusnya dan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka September ini.
Presidennya Rozi Muhamad berkata pihaknya akan melakukan perubahan itu dengan kadar segera, selain memahami keluhan penyokong susulan kekalahan terbaharu kepada Perak FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat lepas.
“Keputusan perlawanan dengan Perak FC akan dikaji dengan lebih mendalam dan jika ada yang memerlukan tindakan drastik, maka pengurusan KDNFC akan mengambil langkah yang lebih tegas demi bola sepak Kelantan.
“Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan sebagai usaha yang terpaksa dilakukan, saya berjanji akan mengubah beberapa perkara sebelum perlawanan seterusnya Liga Super pada Ogos ini dan juga perubahan besar pada jendela perpindahan kedua dibuka bulan September nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KDNFC ketika ini berada di kedudukan ke-12 daripada 13 pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super musim ini dengan meraih tiga mata selepas empat perlawanan. – TVS