MIRI, 29 Julai: Projek menaik taraf Masjid Darul Hijrah, Piasau Utara dijangka siap awal Oktober 2024.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang berkata pelaksanaan projek bernilai RM300,000 menggunakan dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjalan lancar.
“Kerja menaik taraf melibatkan ruang beranda sedia ada dan sebenarnya ada tiga beranda yang akan dibaiki.
“Kemudiannya menukar posisi dan membina baharu tandas dan bilik persalinan lelaki serta orang kelainan upaya (OKU) dan menaik taraf tandas dan bilik persalinan wanita. Yang terakhir adalah untuk pembinaan Mihraj di hadapan masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Gelanggang Bola Keranjang Miri di sini, hari ini.
Satu lagi projek RTP, membaiki Gelanggang Bola Keranjang Miri yang menelan kos RM150,000, dijangka siap lebih awal.
Projek ini membabitkan penukaran bumbung dan menyediakan ruang penyimpanan barang.