KUCHING, 29 Julai: Sarawak mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai RM10.4 bilion pada separuh pertama tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata jumlah itu termasuk pelaburan langsung asing berjumlah RM5.7 bilion dan pelaburan langsung domestik bernilai RM4.7 bilion.
“Itulah jumlah yang kita capai di Sarawak bagi bulan Januari hingga Jun tahun ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Awang Tengah dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kementeriannya akan mengumumkan prestasi pelaburan untuk enam bulan pertama di Malaysia selepas menerima data yang lengkap.
Menurutnya, berdasarkan data dari Januari hingga Mac 2024, Malaysia telah mencatat peningkatan nilai pelaburan 13 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.