KUALA LUMPUR, 30 Julai: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sedang mengusahakan garis panduan pengurusan lambakan sisa solar panel negara yang dijangka siap tahun hadapan.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata garis panduan itu berpandukan peraturan sedia ada dan perkembangan teknologi terkini.
“Proses ini telah pun bermula dan kita berhasrat garis panduan ini akan siap menjelang tahun hadapan sebagai rujukan kepada pihak industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Noorita Sual yang ingin tahu polisi terkini bagi pelupusan dan kitar semula lambakan sisa panel solar serta langkah-langkah terkini oleh kementerian untuk mengatasi masalah tersebut.
Nik Nazmi turut memaklumkan sehingga kini Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melesenkan 17 buah fasiliti kemudahan pemerolehan kembali luar tapak sepenuhnya bagi kod SW 110.
Jelas beliau perincian tapak itu merangkumi empat fasiliti di Selangor, tujuh di Pulau Pinang, dua di Negeri Sembilan, dua di Johor serta masing-masing satu di Perak dan di Sarawak.
Ujarnya salah satu fasiliti berkenaan berupaya membuat pemerolehan kembali sisa panel solar untuk menghasilkan logam yang bernilai tinggi seperti kadmium, tallinium dan sallinium.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata kementeriannya turut menggalakkan dan mempromosi konsep ekonomi kitaran dilakukan melalui pelbagai inisiatif guna semula bagi menangani cabaran global seperti pencemaran alam, kehilangan biodiversiti dan perubahan iklim. -TVS.