SUNGAI PETANI, 30 Julai: Seorang wanita warga emas ditemukan mati dan keadaan mayat sudah berbau di dalam rumah teres yang didiaminya sendirian di Taman Ria di sini hari ini.
Mayat, Him Be Lee, 68, yang disyaki telah meninggal dunia beberapa hari lalu dijumpai oleh pasukan keselamatan selepas jiran yang menghidu bau busuk membuat laporan kira-kira pukul 10.40 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, bantuan daripada bomba digunakan bagi memecahkan pintu rumah mangsa yang berkunci.
“Mayat wanita itu kemudian dijumpai dalam keadaan reput di atas katil dalam bilik utama. Menurut jiran, dia melihat si mati kali terakhir pada Sabtu lalu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Wan Azharuddin berkata siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah dalam kes itu, manakala mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk dibedah siasat.
Ujarnya, siasatan lanjut turut mendapati wanita tersebut mempunyai rekod penyakit darah tinggi dan kelenjar tiroid bengkak selain kali terakhir menerima rawatan di hospital pada Mei lalu. – TVS