KUALA LUMPUR, 31 Julai: Seramai 123,572 pesakit telah menerima manfaat Skim Perubatan MADANI (SPM) setakat suku kedua 2024.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, jumlah itu membabitkan perbelanjaan bernilai RM14.3 juta bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun tahun ini.
“Kesemua pesakit ini seratus peratus golongan B40 kerana kelayakan SPM (dikhususkan untuk mereka) iaitu penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan isi rumah mereka sahaja,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Dato Ahmad Ibrahim yang meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan peratusan penggunaan Skim Perubatan MADANI (SPM) oleh golongan B40 dan M40 sepanjang suku kedua 2024.
Skim Perubatan MADANI (SPM) dilancarkan sebagai projek perintis sejak 15 Jun 2023 dengan objektifnya adalah untuk mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Pesakit Luar dan Klinik Kesihatan KKM.
Bermula pada 26 Februari 2024 kawasan liputan SPM hanya fokus kepada 10 daerah iaitu Fasa 1 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang (Selangor), Johor Bahru (Johor), Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak). -TVS.