KUCHING, 1 Ogos:Â Pengangkutan udara dikenal pasti sebagai alternatif terbaik bagi mengeksport durian segar dari negara ini ke China yang dijadual bermula pada suku ketiga tahun ini, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu berkata, laluan berkenaan membolehkan ia sampai ke destinasi dengan lebih cepat berbanding laluan laut sekali gus memastikan ia kekal segar.
âKita (Malaysia sudah lama eksport ke antarabangsa, cuma eksport durian segar ini memerlukan kecepatan bagi memastikan ia bermutu tinggi. Kita sedang laksanakan supaya dapat dieksport melihat kepada permintaan yang begitu tinggi terutama ke China.
âDurian segar ini perlu dibawa menggunakan laluan udara supaya dalam masa beberapa jam boleh sampai, kita lihat ini merupakan perniagaan yang baharu muncul di Malaysia,â katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi memaklumkan, pengeksportan pertama durian segar ke China dijangka bermula pada Oktober melibatkan antara 500 ke 1,000 metrik tan bekalan.
Beliau menjelaskan, anggaran itu mengambil kira kemampuan bekalan durian sedia ada memandangkan musim buah yang sudah berada di penghujung. – TVS