PARIS, 3 Ogos: Tiada ungkapan sesuai bagi menggambarkan perjuangan beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah di Sukan Olimpik Paris 2024 selain ucapan terima kasih.
Pearly-Thinaah sudah melakukan yang terbaik untuk mencabar pilihan keempat dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida bagi perebutan pingat gangsa.
Namun, faktor keletihan mungkin dilihat menjadi punca permainan Pearly-Thinaah kurang menjadi apabila kerap melakukan unforced error yang menyumbang mata demi mata kepada gandingan Jepun itu.
Pun begitu, pujian harus diberikan kepada Pearly-Thinaah kerana mampu melangkah lebih jauh di Olimpik biar pun sebelum ini mereka tidak diberikan sebarang harapan untuk sekurang-kurangnya menjadi pencabar dalam perebutan pingat.
Aksi di gelanggang badminton di Porte de La Chapelle Arena, Paris itu menyaksikan Pearly-Thinaah tumpas straight set 11-21, 11-21.-TVS