KUCHING, 8 Ogos: Kerajaan Persekutuan sedang memastikan takrifan dan hukuman bagi jenayah buli siber diperhalusi agar undang-undang yang lebih tegas diwujudkan bagi mengekang masalah itu.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, jawatankuasa khas telah dibentuk melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk merangka atau membuat pindaan kepada undang-undang sedia ada supaya ianya lebih jelas melibatkan buli siber.
Katanya aspek hukuman turut diberi perhatian bagi memastikan terlibat dengan buli tidak menerima hukuman yang terlalu ringan.
“Memang jelas kita perlukan undang-undang yang lebih tegas untuk mengekang buli siber kerana pada waktu ini kita berpandukan kepada kanun keseksaan namun takrifan tidak jelas berdasarkan maklum balas PDRM, jadi satu jawatankuasa khas telah dibentuk melibatkan SKMM, PDRM dan AGC.
“Ini untuk kita sama-sama merangka, mungkin pindaan kepada undang-undang sedia ada supaya lebih jelas apa yang dimaksudkan dengan buli siber,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas hadir Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC2023) Zon Sarawak di Auditorium P. Ramlee RTM Kuching di sini hari ini.
Tambah Fahmi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said sedang mengetuai usaha berkenaan untuk meneliti undang-undang yang perlu dipinda atau diwujudkan sekiranya belum ada. – TVS.