KUCHING, 11 Ogos: Sarawak sedang menunggu keputusan serta kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung kesediaannya menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata menerusi perbincangan bersama KBS, sebanyak 18 acara Sukan SEA berpotensi dijalankan di Bumi Kenyalang.
“Ada 18 acara yang akan dipertandingkan di Sarawak dan kita telah disuruh untuk memilih. Inilah situasinya apabila kedudukan kewangan kuat. Kami menawarkan untuk menjadi penganjur bersama dan Kuala Lumpur atau KBS memaklumkan 18 acara boleh dipertandingkan di Sarawak.
“Wushu adalah satu daripada sukan yang akan kita mohon untuk dipertandingkan di Sarawak (bagi Sukan SEA) di tempat ini, kemudahannya perlu ditingkatkan lagi seperti kemudahan penyaman udara,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan Pusat Latihan Wushu terletak berdekatan Stadium Sarawak, hari ini.
Bagaimanapun, Abdul Karim Rahman tidak dapat mendedahkan senarai 18 acara sukan yang berpotensi dipertandingkan di sana memandangkan ia masih di peringkat cadangan. -TVS