KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Seramai 10,000 pengunjung dari Lembang Klang dijangka memeriahkan Ekspo Pelancongan dan Makanan Halal anjuran Bank Rakyat yang mula membuka tirai semalam hingga 25 Ogos ini di Menara Kembar Bank Rakyat di sini.
Lebih 150 agensi pelancongan dan perniagaan makanan halal akan turut serta, termasuk Tourism Malaysia, Islamic Tourism Centre, Ezydurian, Mamasab, dan Mak Jenny, yang menawarkan promosi dan diskaun menarik.
Tourism Malaysia akan memperkenalkan promosi terbaharu mereka, “Fly Borneo Specials Vol. 2 – More Adventure Awaits You!” yang menawarkan pakej menarik untuk melawat Sabah, Sarawak, dan Labuan.
Sepanjang ekspo, Bank Rakyat menyediakan pelan ansuran 0 peratus hingga 36 bulan menggunakan Kad Kredit-i bagi pembelian pakej pelancongan di ekspo ini, memudahkan pengunjung untuk membeli dengan cara fleksibel.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick mengakui ekspo berkenaan diakuinya sebagai platform ideal untuk PMKS meningkatkan pengetahuan dan pengalaman dalam industri halal.
Justeru itu, beliau menyeru usahawan untuk memanfaatkan peluang ini untuk menjalin hubungan perniagaan dan meneroka potensi baharu dalam sektor pelancongan dan makanan halal.
Pada masa sama, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak menekankan bahawa penganjuran tanpa tunai itu merupakan komitmen bank dalam mempromosikan amalan tersebut, selaras dengan aspirasi kerajaan.
“Inisiatif ini bertujuan untuk merancakkan industri pelancongan dan makanan halal, serta menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa untuk menerokai budaya dan makanan tempatan,” ujarnya,
Ekspo ini juga menyediakan aktiviti seperti cabutan bertuah, persembahan buskers, dikir barat, dan wayang kulit, serta maklumat lanjut tentang produk dan perkhidmatan Bank Rakyat di reruai mereka. – TVS