KUCHING, 23 Ogos: Atlet terjun Sarawak berjaya memecahkan rekod yang dilakar pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2006 di Kedah dengan meraih sembilan pingat emas.
Jurulatih terjun Sarawak, Rosatimah Muhammad berkata, pada temasya dwitahunan tersebut yang berlangsung di Kedah, atlet terjun negeri ini memenangi lapan emas.
“Sebagai jurulatih yang sudah membimbing atlet terjun Sarawak hampir 15 tahun, kejayaan ini sudah tentu manis kerana kami berjaya memecahkan rekod yang dilakar pada 2006,” katanya kepada TVS hari ini.
Menurutnya, untuk terus melahirkan atlet terjun berwibawa, pembangunan akar umbi penting dan perlu diberi perhatian.
“Kita mahu mengekalkan Sarawak sebagai lubuk melahirkan atlet terjun yang mampu bersaing di peringkat tertinggi” ujarnya.
Beliau berkata, kebanyakan pelatih yang menyertai kem terjun berusia seawal usia enam hingga lapan tahun.
“Jika ada yang melebihi umur ditetapkan, kita akan melihat bentuk badan sama ada sesuai atau tidak untuk acara terjun.
“Kita memerlukan hampir empat tahun membentuk mereka menjadi atlet terjun yang boleh diketengahkan untuk menyertai pertandingan,” jelasnya.