BETONG, 23 Ogos: Juara bertahan dari Selangor, Nur Ellyana Maisarah Norazman kekal unggul apabila meraih pingat emas acara angkat berat dalam kategori 76 kilogram (kg) wanita pada hari terakhir acara berkenaan di  Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Dia mempamerkan rentak cemerlang pada SUKMA kali ini dan memberikan skuad angkat berat Selangor emas kedua menerusi angkatan keseluruhan 166kg; iaitu 75kg untuk snatch dan 91kg (clean & jerk).
Jelas Nur Ellyana, setelah memenangi emas sulungnya pada SUKMA edisi lepas, keinginannya untuk mengekalkan podium tempat pertama menjadi pendorong utama kepada kemenangannya
“Saya mahu kekalkan nama saya sebagai pemegang pingat emas kerana SUKMA dua tahun lepas saya sudah memegang pingat ini, jadi saya hendak mengekalkannya.
“Cabaran saya adalah diri saya sendiri. Saya perlu kuatkan mental dan jiwa untuk melawan diri sendiri,” katanya ketika ditemui media di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, hari ini.
Nur Ellyana berkata, dia masih berpeluang ke temasya SUKMA akan datang dan masih mengejar hasrat merangkul pingat emas, selain mengintai untuk menyertai pasukan kebangsaan.
Tambahnya, ucapan terima kasih juga diberikan kepada semua pihak terutamanya para jurulatih yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan bantuan kepada dirinya untuk mencapai kejuaraan.
Sementara itu, tempat kedua dimiliki Nur Nabila Najwa Halim dari Kelantan yang berhasil mencatatkan angkatan keseluruhan 150kg (70kg, 80kg) manakala atlet kontinjen Pahang meraih gangsa menerusi angkatan 123kg (55kg, 68kg). – TVS