MIRI, 23 Ogos: Sarawak akan mengkaji program pembangunan pencak silat di wilayah ini berikutan rekod penyertaan atlet sukan itu memberansangkan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, program itu akan melibatkan perguruan silat dan para atlet.
“Ya kita lihat orang ramai begitu menyokong kuat pasukan kita (Sarawak) dan pasukan lain yang bertanding pada kejohanan SUKMA 2024 ini.
Jadi ini menunjukkan satu minat masyarakat termasuk generasi muda terhadap silat. Mungkin selepas ini kita (Sarawak) boleh mengkaji semula program pembangunan pencak silat untuk para atlet bersama perguruan – perguruan silat yang ada,” katanya pada sidang media yang diadakan selepas acara silat olahraga kategori putri Kelas B, di Stadium Bandaraya Miri, di sini, hari ini.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Penolong Pegawai Pengurus Mohamad Azahar Bujang, dan Ketua Jurulatih Pasukan Silat Sarawak, Fadzil Jamain.
Mengulas lanjut, Dr Ripin berkata, Sarawak juga akan menguatkan pasukan silat negeri ini supaya dapat mewakili Malaysia ke Sukan SEA.
“Kalau di Sarawak kita ada Rumpun Silat Sarawak dan kita akan kuatkan lagi pasukan pencak silat itu.
Syabas juga kepada para pemenang edisi ini, bagi yang tidak mara ke peringkat akhir dan mendapat pingat, jangan putus asa, cuba berlatih lagi kerana saya yakin banyak pengalaman yang ditimba menerusi penganjuran di Sarawak pada edisi kali ini,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Sarawak berjaya menuai dua emas menerusi kategori Putra Kelas E yang diwakili oleh Mohamad Nurhasri Maxzakir dan Ummi Mashitah Hassan dalam kategori Putri Kelas B.
Mohamad Nurhasri Maxzakir menewaskan pihak lawan dari Pahang iaitu Muhammad Raden Sabry Mohd Insan dengan skor akhir 60 – 58.
Manakala Ummi Mashitah Hassan pula berjaya memungut 39 mata mengalahkan Nur Irhamna Qamariah Wira dari Kedah yang hanya mendapat 24 mata. – TVS