KUCHING, 23 Ogos: Sarawak menepati sasaran kutipan 70 pingat emas bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang bakal melabuhkan tirainya esok.
Emas ke-70 itu disumbangkan atlet renang Kelly Yao Teo dalam acara bebas 1500 meter wanita di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di Kuching petang tadi.
Sasaran yang ditetapkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu tidak hanya terhenti di angka 70 kerana sebutir lagi emas berjaya dirangkul oleh atlet renang.
Puong Wei Hii menyumbang emas ke-71 buat Sarawak dalam acara 100 metera kuak lentang lelaki.
Sarawak menyaksikan momentum kutipan pingatnya pada hari-hari terakhir temasya walaupun diekori rapat kontinjen Wilayah Persekutuan.
Setakat 7 malam tadi, Sarawak berjaya mengumpul 71 emas, 51 perak dan 65 gangsa, manakala Wilayah Persekutuan dengan 68 emas, 60 perak 67 gangsa dan diikuti Selangor dengan 50 emas, 58 perak dan 48 gangsa. – TVS