KUCHING, 23 Ogos: Kerajaan Sarawak melakukan langkah tepat dengan melancarkan Dana Impak Kelestarian Teknologi Agrimakanan Sarawak.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Dzul Hadzwan Husaini menyifatkan inisiatif berkenaan bertepatan dengan saiz wilayah ini yang besar.
“Namun untuk penghasilan, kita memerlukan penggunaan teknologi yang tinggi agar dapat mengeluarkan produk pertanian dalam skala yang besar tetapi pada masa sama, melibatkan kos yang rendah,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Ujarnya, jika perkara ini berlaku maka Sarawak dapat mengeluarkan produk pertanian tempatan pada harga yang murah.
Tambahnya, ia akan dapat menyumbang kepada kesederhaan impak serta tekanan dalam keterjaminan makanan.
“Selain itu, sumbangan sektor pertanian agak kecil jika kita melihat kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
“Dengan adanya permulaan kepada sektor pertanian moden ini, Sarawak diyakini akan dapat memperkasakan sektor pada tahap lebih tinggi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata perkara paling penting adalah, kebergantungan Sarawak kepada makanan yang perlu diimport perlu diturunkan. Ini melibatkan pengimportan bahan mentah dan akhir.
Pada Rabu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melancarkan Dana Impak Kelestarian Teknologi Agrimakanan Sarawak
dengan tujuan merevolusikan sektor agrimakanan dan mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai pemimpin global dalam inovasi.
Dana Impak Kelestarian Teknologi Agrimakanan Sarawak adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, bertindak sebagai kuasa perintis yang khusus memajukan teknologi agrimakanan, penskalaan penyelesaian berdaya maju bagi sekuriti makanan, nutrisi dan pertumbuhan ekonomi. – TVS